Kamis, 03 April 2008

Menjaga mata dan memelihara pandangan



Pandangan mata mempunyai kesan yang besar kepada rangsangan seks. Nabi s.a.w. bersabda: “Pandangan mata itu (laksana) anak panah beracun
dari berbagai macam anak panah Iblis.” (Riwayat Ahmad)
Pandangan mata yang tidak dikawal juga boleh melemah iman dan jiwa. Justeru anak menjelang dan sesudah baligh hendaklah dibiasakan serta
dididik supaya jaga mata dari melihat apa-apa yang boleh menimbulkan rangsangan seks.
Di dalam al-Quran,

"Allah perintahkan agar dikatakan kepada orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman: “Hendaklah mereka menahan
pandangannya dan memelihara kemaluannya…” (An-Nur: 30)

Firman Allah ini menunjukkan rapatnya pertalian antara pandangan mata dan rangsangan nafsu seks. Imam Ahmad meriwayatkan satu hadis ketika
Rasulullah s.a.w. berjalan dengan anak saudaranya al-Fadhl bin Abbas lalu melintas seorang Arab Badui bersama anak perempuannya yang berparas cantik.
Ketika al-Fadhl memandang gadis itu, Rasulullah memalingkan wajahnya ke arah lain. Beberapa saat kemudian dia memandang lagi, lalu Rasulullah
menghadapkan wajahnya ke arah lain. Perkara itu berulang tiga kali. Hadis ini menunjukkan seriusnya Rasulullah s.a.w. mendidik anak Muslim sejak
usia kecilnya agar selalu ‘menundukkan’ pandangan.
Menjaga pandangan mata anak-anak termasuklah mengawal bahan tontonan, bahan bacaan, internet dan apa jua yang mungkin berunsur seks di
dalam rumah. Jangan sekali-kali sediakan kemudahan kepada anak untuk menonton VCD dan melayari internet di bilik yang tertutup.
Ibu bapa yang prihatin akan meletakkan kemudahan ini di ruang terbuka dan menghadkan waktu penggunaannya. Hiasan dinding atau almari di bilik
anak-anak pun dipantau dan kawal. Begitu juga barang milik peribadi seperti beg dan dompet. Sediakan alternatif gambar hiasan yang boleh
menyejukkan mata dan menenangkan hati (gambar pemandangan, ayat Quran, poster motivasi dan sebagainya).
Anak-anak juga mesti dibiasakan melihat ibu bapa dalam keadaan berpakaian sopan walaupun di dalam rumah. Si ayah tidak berlengeng depan
anak-anak dan si ibu tidak berkemban. Ini akan menjadi contoh bagi anak-anak, baik yang lelaki atau yang perempuan supaya mereka juga
berpakaian sopan. Tidak menampakkan aib di depan satu sama lain.
Demikian juga keghairahan seks suami isteri, jangan sampai dilihat oleh anak-anak kerana amat merbahaya pada perkembangan seksual mereka.

Tidak ada komentar: